Friday, May 25, 2012
429 Hari. Jatuh, Duduk & Bangun Semula.
429 Hari.
Sekurang-kurangnya 61 Minggu. 10,296 Jam. 617,760 Minit. 37,065,600 Saat. Sejak Blog ini terbiar sepi tanpa seri. Nampaknya kekecewaan Aku terhadap filem Hikayat Merong Mahawangsa [2010] (merujuk kepada Post yang lepas) memang berbekas; sehingga mengambil masa sekurang-kurangnya 1 Tahun 2 Bulan 2 Hari untuk Aku mengubati. HeHe *Ketawa*. Tak adalah sampai begitu. Aku masih punya harapan kepada bakat-bakat baru di Malaysia. Tak pernah putus asa mengharap. Walaupun, selalunya Aku yang akan parah 'dihina' dengan sajian-sajian 'bakat' di luar sana. Masih tak salahkan mereka. Mungkin Aku sendiri yang kurang memilih hidangan yang tersedia, yang kebanyakannya dibuat secara sambil lewa dan mencebik nilai akal penontonnya. Mungkin.
Jadi, apa yang berlaku selama Blog ini terdiam sejuta bahasa?
Banyak. Banyak. Sedangkan dalam sehari pun manusia boleh menempuh bermacam-macam perkara, apatah lagi untuk 1 tempoh yang sangat lama. Ya. 1 Tahun itu sangat-sangat lama. Walaupun ada sesetengah mereka mengatakan tempoh itu sebolehnya pantas berlalu sekelip mata. Mungkin Aku yang suka menilai setiap saat, maka terasa lama. Mungkin juga.
Jatuh. Terduduk. Bangun. Jatuh semula. Tertiarap. Merangkak.
Apa lagi yang manusia selalu buat bila jatuh? Ermm.. Kadangkala mengambil masa untuk bertenang sebelum bangun dan lari semula. Atau mengatur langkah dengan lebih berhati-hati. Takut terjatuh lagi. Manusia ini memang hebat. Kalau ada yang telah sedia berlari, apakah akan ada yang menoleh ke tepi. Sekurang-kurangnya menoleh ke cermin sisi? Sedangkan yang sama-sama merangkak pun boleh memijak tangan manusia yang lain; supaya nasib mereka menjadi lebih buruk. Tikam belakang. Kalaulah ianya realiti, agaknya badan manusia tu dah lama tertanggal tulang belakang. Habis hancur tiada lagi untuk ditikam. Manusia memang hebat!
Dalam tempoh ke belakang, pelbagai kejadian suka-duka terjalin sama. Lebih-lebih lagi dalam waktu terdekat ini. Sungguh. Pengalaman, beb! Yang pada aku sangat-sangat ajaib. Dengan izin Yang Maha Esa. Perkara terbesar yang pernah berlaku. Biarlah menjadi 1 cerita dalam lipatan hidup Aku. Bukan merungut. (Walaupun adalah juga, sedikit membebel secara peribadi). Sesiapapun pasti akan terdetik untuk memperkatakannya, apatah lagi peluang keemasan di depan mata. Belum sempat Aku menyentuhnya, dah diragut dari pandangan mata. Untuk menyedapkan pendirian diri, Aku katakan bukan rezeki. Mungkin bukan pada masa ini. Rugi? Ya. Sangat rugi. Tapi sisi lain Aku mengatakan syukur. Setiap kejadian punya rasa syukur. Sebab-musabab yang nyata, dengan kejatuhan sebegini, Tuhan menunjukkan sisi kehidupan Aku yang lain. Tuhan menunjukkan Aku, siapa mereka yang akan menjadi 'teman' & 'musuh' Aku di kala kehidupan Aku menjunam ke lembah yang dalam. Siapa yang akan terus menyokong Aku? Siapa yang akan melihat Aku dengan pandangan yang jelik. Semuanya jelas terpampang di mata kehidupan Aku. Mudah saja. Kehidupan itu ajaib. Dalam pelbagai ruang & rupa hidup ini, punya macam-macam cerita & rahsia tersendiri. Sebab itulah juga Aku bersyukur. Di sebalik kejadian yang hebat itu, terserlah sifat-sifat manusia sekeliling Aku yang mungkin takkan Aku dapat lihat lagi jika kejadian ini tidak terjadi. Tuhan itu Maha Adil.
Jadi, apakah yang akan terjadi selepas ini?
Bangun semula? Berdiri semula? Berlari semula? ...Bagai memandang ke horizon di ufuk Barat. Aku nampak arahnya kiblat. Walau perubahan tidak semestinya sepantas kilat. Melangkah di keduniaan, untuk mengejar kedatangan akhirat...
Berubah. Pada lantai yang sama.
Bergerak. Tanpa putus asa.
Subscribe to:
Posts (Atom)