Thursday, June 21, 2012

Sembang Buku | "Gerabak Merah Jambu" - Kamalia


Diterbitkan oleh JS Adiwarna


Si Manis 17.
Aku ketawa juga bila mendapati buku "Gerabak Merah Jambu" karya Kamalia ni tergolong dlm koleksi Si Manis 17. Sangat-sangat 'merepek' bagi Aku; maknanya Aku ni termasuk dlm kategori "Si Manis 17" itu? HaHa. Sangat2 merepek okay. Sejujurnya buku ni lebih kepada feminin berbanding maskulin. Yeap! Tapi, apa yang peliknya. Seandainya karya itu bagus, Aku tak kisah dalam kategori apa pun. Yang penting isi ceritanya bagus, pengelasan tu Aku tolak ketepi. Adil, kan?

Sinopsis.
Penceritaannya agak mudah untuk difahami. Plot agak linear. Jadi tak payah susah2 nak pening kepala utk baca. Kalau nak tahu sedikit cerita mengenainya; seperti yang disedut dari Laman JS Adiwarna :



"Bagi sesetengah orang, gerabak wanita boleh saja menjadi tempat yang paling indah di dunia.
Ikhwan tidak sedar, pada pagi Selasa sambil diiringi oleh hujan yang lebat dia telah tersalah naik gerabak yang dikhaskan untuk wanita. Namun, mindanya terus sahaja melenyapkan kesalahan tersebut apabila tanpa disangka-sangka dia telah bertemu dengan gadis paling cantik di dunia.
Sophia namanya.
Bila Khaleel beritahu Sophia bahawa mereka berdua perlu berpisah atas sebab-sebab yang dirasakan sangat klise, Sophia seperti bakal hilang sebahagian nyawanya. Khaleel, si sahabat baik mahu meninggalkannya tapi Ikhwan si lelaki gila sanggup menjadi pengganti.
Di dunia yang lain, Zulaika hanya mampu makan hati berulam jantung apabila mengenangkan hati Ikhwan bukanlah untuknya. Hanya Azimah, jirannya yang separuh gila itu sahajalah yang memahami perasaannya."


Jadi, Apa Yang Menariknya?
Sebenarnya banyak yang menarik tentang buku ini. Lain daripada cerita2 cinta konvensional. Lebih kepada surreal. Tahu apa itu surreal? Senang cakap, surreal itu menjurus kepada 'tidak real'. Seperti ada lagu latar dalam cerita Winter Sonata, mahupun petikan violin ketika irama sedih menjengah satu perhubungan. Itulah yang istimewanya "Gerabak Merah Jambu". Pembaca akan merasai sendiri atmosfera itu apabila membaca buku ini.

Mengenali Penulisnya.
Aku mengenali Penulis buku ini. Itu satu pengakuan yang berani *ketawa*. Dan sebab itu jugalah Aku yakin karyanya tidak mengecewakan. Beliau seorang yang mempunyai ruang pemikiran melebihi biasa. Kalau orang lain tidak mengenalinya, pasti akan mengatakan beliau berada dalam dunianya yang sendiri. Tetapi, apabila berbicara dengannya, Aku mudah faham dimensi pemikirannya- luas dengan ilmu pengetahuan dan pendapat. Aku suka cara beliau berfikir. Jika orang lain pantas menjatuhkan hukuman kepada Robin Hood kerana mencuri; beliau akan mengatakan Robin Hood seorang putera budiman yang suka memberi keuntungan kapitalis kepada si miskin yang 10 hari tidak makan. Menarik bukan? Sebegitulah yang diterjemahkan dalam karya "Gerabak Merah Jambu".

Buku Ini Bagaikan Bercerita Sendiri.
Betul. Bila membaca buku "Gerabak Merah Jambu", seolah-olah buku ini sebagai pujangga yang bercerita kisah anak-anak muda kepada pembacanya. Itu yang membuatkan buku ini menarik minat Aku. Dan lapisan demi lapisan rahsia dikupas elok sehingga misteri "Khaleel" terdedah dan kucing itu mampu "bercakap"! Bermula dengan isu yang ringan, sehinggalah menjadi semakin berat dan mencabar pemikiran pembaca. Aku menyukai momentum itu. Hinggakan apabila tertinggal satu bab, persoalan demi persoalan makin tak terjawab...

Sejujurnya, Aku bukanlah pembaca novel tegar. Jauh sekali membaca "Ombak Rindu" dan "Bicara Hati". Jadi, Aku agak lemah dalam konteks membaca novel-novel ni- hinggakan mengambil sekurang-kurangnya lima (5) hari untuk menghabiskan pembacaan. *Ketawa. Gila lembab!* Namun, Aku puas hati apabila ending novel "Gerabak Merah Jambu" tamat dengan penyelesaian. Walaupun tidak semestinya happy ending; sesebuah penceritaan seharusnya punya titik penamat. Bukannya membiarkan tergantung tanpa penjelasan. Dan pembaca bukanlah agen pencari 'kod-kod rahsia' dalam sesebuah buku. Kalau begitu; lebih baik biarkan sahaja pembaca yang jadi penulis cerita. *Sekadar pendapat*

Tentang Ceritanya.
Gerabak merah jambu seolah-olah bagaikan platfom perjalanan hidup. Bagi watak Ikhwan dan Sophia yang punya latar belakang tersendiri. Pertemuan tak sengaja bagaikan satu takdir. Namun, takdir tidak semestinya bersatu. Antara persahabatan Sophia dan teman lamanya, Khaleel punya sejarah misteri. Begitu juga antara Ikhwan dan Zulaikha, punya simpulan yang tersendiri. Akhirnya Ikhwan mendapati Sophia bukanlah gadis manis biasa. Dia ada 'dunia'nya yang terasing dari nyata. Bagaimanapun Zulaikha juga mendapati hidupnya lebih bermakna dengan kehadiran watak Azimah; yang bagaikan peti khazanah kehidupan penuh falsafah. Azimah dikatakan gila kerana cara kehidupannya yang berbeza, namun begitulah setianya pada 'cinta'... "Gerabak Merah Jambu" banyak ceritanya. Namun punya destinasi yang sama. Nak tahu kesudahannya? Dapatkan sendiri naskah terbaeekk ini.

Klik Sini untuk Maklumat Lanjut mengenai buku "Gerabak Merah Jambu" - Kamalia



HCA: "..Kita tak pernah kalah mencintai seseorang." - Aku suka quote ini. *senyum*

4 comments:

Hafizul Osman said...

Salam.

Maaf ganggu. Saya Hafizul Osman,editor Js Adiwarna. Saya telah membaca komen saudara dalam blog mengenai novel Gerabak Merah Jambu. Menarik! Sudikah sekiranya saudara membenarkan saya untuk menerbitkan komen ini di laman fan page Platun Buku? Harap-harap saudara pun boleh sertai sekali. :)

aKu YaNg TuLiS said...

Salaam,
Saudara Hafizul Osman.

Perkongsian sesuatu yang baik itu sangat dialu-alukan. Pihak HCA juga berbesar hati atas kesudian Saudara menjengah Ulasan berkenaan "Gerabak Merah Jambu - Kamalia" dalam Blog yang usang ini.

Dan, terima kasih untuk Saudara Hafizul & JS Adiwarna kerana menjadikan karya penulisan & dunia pembacaan dalam rona-rona warna yang indah.

:-)

Hafizul Osman said...

Oh, terima kasih daun keladi. Sudi-sudilah juga membaca karya-karya lain terbitan JS Adiwarna dan menjenguk booth kami di Pesta Buku Selangor yang sedang berlangsung di SACC Shah Alam. Mungkin saudara boleh dapatkan beberapa buah novel terbaharu daripada kami seperti novel Gadisku, Wan Adnin karya Noor Suraya, Urusan Cinta Belum Selesai karya Imaen dan juga antologi cerpen Kisah Cinta Seribu Wajah. Terima kasih sekali lagi ya...

aKu YaNg TuLiS said...

Saudara Hafizul.

Bagaikan kata-kata warisan Melayu kita; "Kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan.." :-)

InshaAllah, jika punya rezki dan kelapangan, HCA akan penuhi jemputan itu. Dan HCA mula tertarik dengan hasil terbitan JS Adiwarna.. Kemungkinan akan terus menyokong usaha-usaha murni anda & JS Adiwarna dalam memartabatkan karya penulisan tempatan.