Tuesday, May 26, 2009

MaaFKaN CiNTa


"Cinta, sudikah kau memaafkan aku?"

Aku hanya menggeleng-gelengkan kepala. Buat satu masa ini, aku berada dalam keadaan yang membingungkan, yang tidak pernah aku terbayangkan sebelum ini. Sudah jelas lagi nyata, benda itu yang salah, namun masihkah ada lagi ruang untuk menerima kesalahan itu?

Aku berhadapan dengan situasi yang mana F sudahpun berjaya membongkarkan hal kekasihnya yang berselingkuh di belakang pengetahuannya; berpacaran dengan sahabat baiknya sendiri. Namun, setelah berkobar-kobar kemarahan F, yang terpacul di bibir F adalah kemaafan untuk A; kekasihnya yang sudah curang itu? Sementelah betapa kuatnya cinta F pada A, namun bukankah ianya kini satu tragedi. Aku hanya terpaku tanpa apa-apa jawapan.

Sebelum ini, aku begitu kuat mengatakan "salah tetap salah". Tidak guna lagi membetulkannya dengan alasan perkara itu boleh dibetulkan lagi. Akhirnya keadaan ini sedikit-sebanyak menggegarkan pegangan aku itu. Namun, aku masih tidak boleh digoyahkan. Aku cuba mendapat lebih pandangan melalui sahabat-sahabat aku yang lain: ManJanda, CikguKechil dan MatBunga.

ManJanda; walaupun telah tewas di medan cinta hampir kesekian kalinya, kerana sikapnya yang suka berfoya-foya; mengatakan bahawa beliau akan tetap menerima kekasihnya yang curang andai beliau sudah memaafkannya. Alasannya mudah, kerana cinta dan kemaafan. Namun, andai pisang berbuah dua kali, beliau akan 'menendang' kekasihnya itu.

CikguKechil, sejak menjadi cikgu ni pandangannya selalu berlainan daripada biasa. Sudah matang mungkin. Walaupun masih comel (perasan!) and still be my baby, ahaks! Beliau mengatakan kadangkala bagi sesetengah perempuan akan berhadapan dengan situasi sukar membuat pilihan. Hal ini berkenaan dengan soal hati, sungguh rumit untuk dihuraikan. Hanya tuan empunya badan yang tahu betapa sukarnya untuk deal dengan soal hati ini. Jadi, jangan salahkan sesiapa jika dalam percintaan bertemu gelora; biarlah masing-masing berusaha dalam menyelesaikannya. Hujan bukannya sepanjang musim, panas pasti kan muncul jua.

MatBunga pula lain pandangannya. Lebih tegas namun tetap berlembut hati. Jika berlaku situasi sedemikian, beliau akan tetap juga memaafkan. Namun hubungan selepas itu pastikan tidak lagi seperti biasa, akan wujud 'lain'nya.

Bagi aku pula, mungkin lebih kasar dan kejam dari MatBunga. Mengikut pengalaman, aku lebih suka menghukum kerana itu adalah titik noktah bagi segala-galanya; terutamanya melibatkan soal hati yang akan membelenggu hidup manusia sekiranya jawapan-jawapan bagi soalan itu tidak diketemu. Bagi aku, pasangan bercinta sudah matang dalam menentukan kehidupan dan percintaan. Seandainya mereka tidak cukup kuat, jangan bercinta. Hanya orang yang kuat sahaja akan meneruskan cinta. Jadi, tiada alasan lagi untuk menjadikan 'keliru' sebagai penyebab. Bullshit! Kalau sudah disedari awal lagi berselingkuh, apakah mungkin senario yang sama akan berulang? Seandainya ikhlas pasangan itu, dia pasti tidak akan mengkhianati pasangannya. Itu sekadar pendapat aku sahaja, dan mungkin orang lain mempunyai madah yang berlainan...

Aku hanya berkata-kata. Mungkin aku patut menjadi lebih pemaaf. Kerana manusia acapkali melakukan kesilapan, dan sebagai manusia, aku harus bertoleransi dengan kelemahan itu.

Adakah kerana cinta itu buta, maka seringkali terpijak duri nan luka? Maka, maaf menjadi pengubatnya?

Atau manusia yang lazimnya membuat silap. Manusia tidak sempurna. Oleh itu maafkan saja?

... Mungkin selepas ini aku perlu menjadi lebih lembut hati berhadapan dengan insiden yang semacam ini. Memaafkan cinta.

No comments: